Saturday, November 1, 2008

Mabuk Laut

Apabila menceritakan perihal mabuk laut pasti ada yang rasa serik untuk ke laut, umumnya bagi yang pertama kali ke laut mengikut ajakan kawan-kawan memancing dan ada yang cuba memberanikan diri pergi ke laut juga dengan harapan kali ini tidak mabuk laut ‘kot’. Mabuk laut yang di kira serius, kalau di sebelah utara panggil ‘muntah hijau’, pahit mulut ini jangan dikiralah. Kalau di hidangkan makan yang enak-enak sebesar gajah di depan mata pun nak tengok pun tak mahu yang nak cari cuma tempat hendak ‘landing’.

Ada yang ke laut sehingga 20 puluh tahun lebih masih tidak terlepas dari mabuk laut ini dan berbagai-bagai ubat dan petua diamalkan . Ubat tahan mabuk laut salah satu cara yang paling banyak diamalkan dan ia mudah diperolehi di kedai-kedai ubat atau farmasi. Sebenarnya ubat mabuk laut ini akan menyebabkan kita khayal dan rasa mengantuk selama beberapa jam dan sekiranya kita tidur alamatnya sampai ke petanglah baru bangun. Mabuk laut akan datang juga bila kesan ubat tersebut sudah habis.

Memandangkan mabuk laut masih menjadi masalah kepada semua kaki pancing, maka ada yang mencuba teknik orang tua-tua seperti memakan pisang kelat, keledek mentah, menampal ‘koyok’, menyelit sayur kangkung di pinggang atau dimasukkan ke dalam poket, menyapu di bahagian perut campuran lada hitam dan halia bara yang ditumbuk dan berbagai-bagai cara lagi yang diperturunkan oleh orang tua-tua bagi tidak mabuk laut. Kalau dah mabuk laut ada yang sanggup minum air laut atau terjun ke dalam laut yang luas itu.

Apapun petua dan cara yang diamalkan hasilnya berbeza terhadap seseorang ada yang menjadi ada yang tidak, mungkin dari faktor kesihatan juga perlu di ambil kira seperti tahap sihat pada hari tersebut ataupun cukup rehat dan tidur.

Jika ditanya pada para nelayan adakah mereka mengalami mabuk laut sama seperti yang anda alami, pasti mereka menjawab “tiap-tiap hari turun laut, dah biasa bang.”

Kesimpulan yang boleh dibuat disini ialah kalau tidak mahu mengalami mabuk laut ialah selalulah turun ke kuala, sungai atau tasik menggunakan bot kecil supaya kita dapat biasakan diri dengan alunan sekerap yang boleh. Kaedah ini insyaallah akan menghilangkan mabuk laut.