Wednesday, November 26, 2008

Mabuk Laut - Sintom-sintomnya

Ramai rasanya yang sudah mengalami situasi mabuk laut terutamanya kaki pancing dan ada juga yang tidak pernah merasai bagaimana rasanya mabuk laut. Di sini Bong hendak mencoretkan sedikit pengalaman Bong dan kawan-kawan Bong yang pernah merasai mabuk laut. Coretan ini berkisarkan pengalaman Bong dan mungkin berbeza dengan orang lain, diharap tidak menjadi perbezaan pendapat selepas ini.

Pada peringkat awalnya mabuk laut, anda akan berpeluh. Berpeluh ini selalunya bermula di bahagian dahi walaupun anda berada di tempat teduh. Keadaan bertambah tidak selesa apabila badan pun turut berpeluh. Ini akan menyebabkan anda akan membuka baju. Situasi ini berlaku bukanlah kerana faktor cuaca yang panas terik, tetapi itulah sintom mabuk laut pertama yang anda akan rasai tidak kira masa walaupun di awal pagi ataupun di tengah malam.

Peringkat kedua mabuk laut anda akan menguap. Menguap ini akan berulang berkali-kali bukannya kerana anda mengantuk, tidak tahu kenapa tetapi itulah yang akan terjadi menguap..menguap..menguap.

Apabila anda sudah menguap maka terjadilah peringkat mabuk laut yang ketiga iaitu peringkat yang melucukan. Anda akan membuang angin dengan kerap sekali, hendak dikatakan semalam minum air halia tidak juga. Sebenarnya pada peringkat ini makanan yang anda makan sama ada sebelum naik bot ataupun semasa di atas bot sedang mengeluarkan gas. Proses ini dalam bahasa doktor dipanggil Proses Penghadaman ataupun Pencernaan makanan. Gas ini dalam bahasa harian orang ramai mengelarnya ‘angin’. Angin ini akan keluar melalui dua saluran utama iaitu saluran kerongkong (mulut) dan usus besar. Sebab itulah apabila anda mabuk laut anda akan menguap dan buang angin.

Pada peringkat mabuk laut seterusnya anda akan hilang selera makan walaupun dihidangkan makanan yang cukup banyak dan enak-enak semuanya bahkan kalau diletakkan kepala gajah depan mata pun nak tengok pun tidak mahu.

Seterusnya peringkat mabuk laut yang kelima, tekak anda pun mula terasa kering dan pedih. Minumlah air mineral banyak mana pun tetap akan terasa kering dan pedih. Selalunya air yang rasanya masam manis seperti oren yang amat diminati kerana pada pendapat sesiapapun air seperti itu dapat melegakan tekak yang pedih itu. Ramai yang tidak tahu oren ataupun benda yang masam itu sebenarnya asid. Apabila asid bercampur dengan gas maka berlakulah letusan gunung berapi.

Letusan gunung berapi yang dimaksudkan ialah kemuncaknya mabuk laut iaitu peringkat yang terakhir mabuk laut kerana anda akan muntah. Muntah mabuk laut yang mengeluarkan isi perut, tidaklah menyeksakan tetapi muntah mabuk laut yang mengeluarkan angin sahaja itulah yang amat memedihkan. Tekak akan terasa amat pedih dan pahit, tenaga pun semakin berkurangan. Anggota badan pun semakin longlai. Sesiapa yang mabuk laut sampai ke peringkat ini selalunya dia akan buat satu benda sahaja iaitu mencari tempat ‘landing’. Mungkin dengan berbuat demikian beliau beranggapan dapat melegakan mabuk laut beliau.

Bayangkanlah anda mabuk laut dan terjadi sedemikian rupa, adakah anda akan terus ‘landing’ sampai balik sedangkan kawan-kawan anda sedang seronok bertarung dengan ikan idamannya. Anda bayar beratus ringgit untuk merasai nikmat bertarung dengan ikan idaman anda tetapi apa yang anda dapat ialah pakej ber'landing' di atas bot selama beberapa hari.

Oleh itu sebelum anda ke laut jagalah kesihatan dan pemakanan agar anda tidak terjerat dengan ‘wabak’ mabuk laut.